Guan Eng mahu Shafie jadi PM? Itu versi Dr M, kata Anwar


KUALA LUMPUR, 26 Julai ー Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyuarakan keraguan terhadap dakwaan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa cadangan mencalonkan ketua menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri pembangkang merupakan idea setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng.

Dalam temu bual dengan Sin Chew Daily, Anwar berkata beliau tidak percaya terhadap naratif itu.

"Itu hanya versi Mahathir. Saya percaya Lim,” katanya.

Dalam satu temuramah eksklusif bersama portal The Malaysian Insight, Mahathir berkata, Guan Eng sendiri yang mencadangkan Shafie, tetapi berubah fikiran selepas bertemu dengan Anwar.

"Sebelumnya, saya bertanya kepada mereka, adakah mereka benar-benar mahukan Shafie dan mereka kata 'ya' tetapi setelah bertemu dengan Anwar, mereka berubah (fikiran)," kata bekas perdana menteri itu.

Mahathir, setelah mengadakan pertemuan dengan pemimpin DAP dan Amanah, mengumumkan bahawa Shafie akan menjadi calon perdana menteri sementara Anwar dan Mukhriz Mahathir akan menjadi timbalan perdana menteri.

DAP dan Amanah kemudiannya membantah, menganggap pencalonan Shafie hanya cadangan dan belum ada keputusan yang dibuat.

Kemudian, Majlis Presiden Pakatan Harapan mengumumkan akan menyokong Anwar sebagai calon perdana menteri.