Guan Eng tinggalkan bangunan SPRM selepas disiasat 6 jam


PUTRAJAYA: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng meninggalkan bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini setelah disoal siasat hampir enam jam berkaitan siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Lim, bekas ketua menteri Pulau Pinang, tiba di ibu pejabat SPRM pada jam 1 tengah hari tadi.

Beliau ditemani oleh Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.

Lim meninggalkan bangunan pada pukul 7.13 malam dan terus menaiki Toyota Velfire berwarna putih.

Lim ialah antara pemimpin negara yang dipanggil untuk memberikan keterangan mereka kepada SPRM sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap projek tersebut.

30 Jun lalu, SPRM menahan bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) bagi membantu siasatan terhadap elemen rasuah dalam projek terowong itu. 

Selain itu, beberapa lagi saksi juga dipanggil untuk direkod percakapan.

Rayer kemudian memberitahu wartawan bahawa anak guamnya dipanggil sebagai saksi dalam siasatan SPRM itu.

Beliau juga mendedahkan bahawa Lim tidak sihat dan telah mendapat sijil perubatan untuk hari ini dan esok.

"Tetapi setelah kami menerima panggilan untuk datang hari ini, kami bekerjasama dengan mereka."

Rayer berkata, Lim diminta untuk kembali memberikan keterangannya kepada SPRM pada pagi Sabtu ini.