Guan Eng tinggalkan SPRM selepas lapan jam beri keterangan


PUTRAJAYA, 26 Julai ─ Bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng meninggalkan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di sini, malam tadi setelah lapan jam disoal siasat.

SPRM berkata Lim tidak akan dipanggil lagi esok untuk disoal siasat.

Beliau kelihatan bersama peguamnya, RSN Rayer keluar meninggalkan ibu pejabat SPRM kira-kira jam 7 malam tadi dan terus melulu menaiki kenderaan Mercedes berwarna perak.

Beliau dan peguam hanya berdiam diri apabila ditanya soalan oleh wartawan-wartawan.

Lim menghabiskan tujuh jam di ibu pejabat SPRM semalam dan enam jam pada Rabu bagi membantu siasatan kes projek terowong dasar laut kerajaan Pulau Pinang.

Pada 7 Julai lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow hadir ke SPRM Pulau Pinang untuk memberi keterangan bagi projek berkenaan.

Pada 3 Julai, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya dalam fasa akhir menyiapkan terhadap siasatan projek itu.

Katanya, kertas siasatan dijangka lengkap dalam tempoh dua ke tiga minggu lagi sebelum diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Projek terowong sepanjang 7.2 kilometer itu, yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai, adalah termasuk di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

PTMP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar.