KUALA LUMPUR, 31 Julai ― Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengumumkan bahawa istilah "penjarakan sosial" (social distancing) akan digantikan dengan istilah baharu iaitu "penjarakan fizikal" (physical distancing).
Dalam catatan di Twitter, KKM berkata penggunaan istilah baharu adalah lebih tepat berbanding istilah lama.
Penjarakan sosial, salah satu langkah keselamatan yang dilaksanakan oleh kementerian untuk mengekang penyebaran COVID-19, adalah amalan menjaga jarak sekurang-kurangnya satu meter dengan individu lain ketika berada di tempat awam.
Amalan ini sudah menjadi kebiasaan sejak pertengahan bulan Mac ketika kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengurangkan peningkatan kes COVID-19.
Seiring juga dengan amalan kerap mencuci tangan, penggunaan pembersih tangan (hand sanitizer) dan pemakaian pelitup muka.
Negara kini dalam tempoh PKP Pemulihan, yang menyaksikan kebanyakan sektor perniagaan telah dibuka semula dan murid-murid telah kembali ke sekolah secara berperingkat.
Sebanyak 8,964 kes dicatatkan sehingga semalam, dengan 124 kematian.