KUANTAN: Tindakan tetap perlu diambil terhadap syarikat kasut yang
didakwa mencetak logo Jata Negara di bahagian dalam kasut keluarannya walaupun
telah membuat permohonan maaf secara terbuka atas kesilapan itu, kata Menteri
Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata tindakan tegas
perlu diambil kerana lambang kebesaran negara termasuk Jata Negara mesti
dihormati, selain kejadian itu adalah yang kedua selepas kejadian hina Jata
Negara dalam penerbitan sebuah buku, baru-baru ini.
"Bila buat silap, ia mesti
disiasat dan kalau bersalah mesti dihukum dengan setimpal. Jika tidak, mudah
sangat untuk membuat silap dan kemudian minta maaf.
"Kes (hina Jata Negara
dalam) penerbitan buku juga difahamkan masih dalam siasatan pihak berkuasa
...yang ini pun saya akan lihat dan majukan (kepada pihak berkaitan) supaya
tindakan tegas diambil," katanya kepada pemberita selepas meninjau Kursus
Pembuatan Biskut oleh Ibu Tunggal Parlimen Indera Mahkota di Gerai KRT Cenderawasih
di sini, hari ini.
Saifuddin yang juga Ahli Parlimen
Indera Mahkota berkata demikian semasa diminta mengulas gambar di bahagian
dalam kasut yang mengandungi Jata Negara dan surat permohonan maaf bertarikh 17
Julai daripada syarikat terlibat, yang tular di laman sosial.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata
Jabatan Penerangan sedang menghasilkan buku panduan penggunaan nama dan lambang
negara yang akan diedarkan secara fizikal dan dalam talian, sebagai panduan
kepada semua pihak berkaitan termasuk orang awam.
Katanya, masih ada pihak yang
tidak tahu penggunaan nama dan lambang negara termasuk Jata Negara yang betul,
selain ramai tidak menyedari kewujudan undang-undang khusus dalam perkara itu
iaitu Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.
"Kita juga akan menerangkan
tentang penggunaan Jalur Gemilang yang betul kerana ada masa kita masih
tersilap. Sebagai contoh, boleh atau tidak kita menggunakan bendera untuk
dijadikan pakaian? Ini antara perkara yang masih ramai tidak pasti.
"Perkara ini akan diselidik
dengan teliti. Kita menggalakkan orang untuk memperagakan bendera tetapi ia
mesti dibuat dengan cara yang betul dan mematuhi etika. Ini antara perkara yang
akan diterangkan dalam buku panduan tersebut," katanya.
Mengenai kursus itu, Saifuddin
berkata Pejabat Ahli Parlimen Indera Mahkota akan membantu usaha yang dilakukan
usahawan Maizatul Akmar Rizah Mazlan yang sedang melatih 20 ibu tunggal dalam
pembuatan biskut tradisional dan kerepek.
Katanya bantuan daripada aspek modal dan pembungkusan itu akan membolehkan produk yang dihasilkan di pusat berkenaan lebih berdaya saing dan menarik perhatian lebih ramai pembeli. – BERNAMA