KOTA KINABALU, 30 Julai ㅡ Seorang ahli Majlis Tertinggi Warisan membidas bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana mengkritik Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kerana meminta dewan undangan negeri dibubarkan.
Terrence Siambun mengkritik Najib, memanggilnya "selebriti Facebook" dan bahawa bekas perdana menteri itu harus menumpukan perhatian terhadap rayuan itu setelah disabitkan atas tujuh tuduhan rasuah berkaitan dengan RM42 juta milik 1MDB SRC International.
"Setahu saya, Najib didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi untuk kes RM42 juta SRC, maka kenapa Sabahan perlu mendengar seorang selebriti Facebook yang telah didapati bersalah atas beberapa perbuatan jenayah?," katanya.
“Beliau sepatutnya fokus kepada rayuannya kerana hanya mempunyai baki tujuh bulan.
"Kalau saya adalah Najib, saya akan meminta maaf atas apa yang saya lakukan dan memohon hukuman lebih ringan," katanya.
Siambun turut memberitahu Najib supaya memahami jalan terbaik adalah mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang disokong supaya ketidakstabilan politik yang melanda Persekutuan tidak berulang di negeri ini.
Pada Khamis, Najib membidas Shafie berikutan pengumuman pembubaran dewan undangan negeri.
"Sejurus selepas PRU14, dia rompak mandat kerjaaan BN Sabah. Masa itu dia tak minta bubar DUN.
"Bulan lepas, dia kata tak perlu bubar DUN Sabah kerana Covid dan keperluan menangani krisis ekonomi.
"Hari ini, dia minta bubar DUN pulak. Kononnya mandat rakyat yang mereka pernah rompak telah dirompak..
"Kamu tak perlulah bimbang sangat hal Sabah. Lebih elok kamu fokus pada perjuangan kamu menjadi perdana menteri PH Plus,” katanya dalam catatan Facebook.
Siambun turut berkata, beliau bingung mengapa Najib berasa susah untuk memahami bahawa Shafie berusaha membubarkan dewan untuk menyelesaikan ketidaktentuan politik di negeri ini.
“Musa mendakwa mempunyai sokongan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tetapi apa akan berlaku jika tiga daripadanya tiba-tiba sahaja buat pusingan U menyokong Shafie selepas Musa mengangkat sumpah Ketua Menteri?
"Susah sangatkah Najib mahu memahami bahawa Shafie tidak mahu ketidakstabilan politik yang membelenggu Persekutuan berulang di Sabah?
“Najib sepatutnya gembira kerana Musa diberikan peluang untuk membuktikan dirinya sebgai ADUN yang layak dalam pilihan raya itu nanti,".
Siambun juga berkata, tindakan beberapa ADUN berpaling tadah juga menandakan pilihan raya mengejut perlu diadakan agar rakyat diberikan peluang untuk menentukan siapa yang mereka mahukan berada di dalam DUN.
Beliau menambah pilihan raya negeri adalah "waktu yang tepat" bagi rakyat Sabah untuk menghukum ADUN yang telah mengkhianati mandat yang diberikan kepada mereka oleh rakyat, merujuk kepada wakil rakyat yang keluar dari gabungan kerajaan pimpinan Warisan.