Jokowi, isteri disahkan negatif COVID-19


JAKARTA, 25 Julai -- Presiden Indonesia, Joko Widodo ataupun dikenali sebagai Jokowi, telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan disahkan negatif, menurut pegawai beliau.

"Malam tadi sudah keluar hasil keputusan. Alhamdulillah, negatif. Isteri beliau (Iriana) juga negatif," kata Ketua Sekretariat Presiden, Heru Budi Hartono kepada media pada Sabtu.

Jokowi menjalani ujian saringan pada petang Jumaat setelah bertemu dengan Achmad Purnomo, wakil walikota Kota Solo di provinsi Jawa Tengah pada Khamis.

Achmad memberitahu wartawan pada Jumaat bahawa beliau didapati positif COVID-19.

Hartono berkata sebelum menemui wakil walikota, Istana Presiden melaksanakan protokol kesihatan pencegahan COVID-19 yang ketat yang mewajibkan setiap tetamu dan pengunjung untuk ujian cepat.

Di samping itu, ketua negara dan semua kakitangannya, serta pekerja di Istana Presiden, secara rutin mengambil ujian saringan.