KUALA LUMPUR: Tindakan seorang individu yang sanggup membakar seekor anak kucing menggunakan pemetik api menerima kutukan pelbagai pihak.
Tindakan itu dirakam individu berkenaan sendiri sebelum tular di media sosial hari ini.
Video berdurasi 46 saat itu menunjukkan lelaki berkenaan membakar bulu kucing hingga menyebabkan badan haiwan itu terbakar keseluruhan.
Susulan itu, Persatuan Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia) mengesa mana-mana individu atau pihak yang mempunyai
maklumat berkaitan insiden tidak berperikemanusiaan terhadap seekor anak kucing
yang dibakar diminta untuk tampil bagi membantu siasatan.
Menurut presiden persatuan tersebut, Arie Dwi Andika, pihaknya menerima maklumat yang tidak
lengkap bahawa kejadian tersebut berlaku di Pahang namun siasatan dijalankan
sama ada kejadian tersebut benar-benar berlaku di negara ini.
"Animal Malaysia merayu supaya bekalkan
maklumat lengkap dengan laporan polis sehingga pelaku berjaya ditangkap,
didakwa di mahkamah dan dijatuhi hukuman maksimum atas kezaliman membunuh anak
kucing tidak berdosa ini jika benar kejadian di negara ini dan pelaku berada di
Malaysia.
"Justeru itu, Animal Malaysia menaikkan
ganjaran daripada RM3,000 kepada RM10,000 untuk kepada sesiapa yang boleh
mengesahkan kejadian anak kucing yang disyaki disimbah minyak petrol sebelum
dibakar menggunakan pemetik api," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Beliau menyeru kepada sesiapa yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-2090-1097.