Kerajaan bakal laksana semula PKP jika kes cecah 3 angka


KOTA BHARU, 26 Julai -- Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan kembali melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekiranya kes positif COVID-19 mencecah tiga angka.

Menurut beliau, jika kes terus meningkat, kerajaan tiada pilihan melainkan mengembalikan semula PKP sekali gus mengehadkan pergerakan.

"Empat hari berturut-turut kes meningkat. Laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengatakan kes meningkat disebabkan kealpaan kita sendiri.

"Kita lupa apabila kita melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang akhirnya menyebabkan kes semakin meningkat," katanya.

"Kita berharap tindakan kita belum lagi terlewat dan SOP untuk Aidiladha akan diumumkan esok," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wakaf Mek Zainab di sini, hari ini.

Mengenai perkara lain, Ismail Sabri berkata, setakat ini rentas negeri masih lagi dibenarkan melainkan ada pengumuman lain esok.

Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai supaya menjaga diri sendiri dengan mengikut SOP ditetapkan dan tidak mengharapkan pasukan keselamatan.

"Kita semua patut menjadi barisan hadapan dan nasihatkan keluarga terdekat supaya mengikut SOP.

"Apa yang membimbangkan Aidiladha nanti bila acara sembelih lembu, tiada jarak sosial dilakukan dan selepas itu majlis kenduri pula diadakan," katanya.

Beliau turut memaklumkan pintu sempadan negara masih ditutup.