GEORGE TOWN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) belum membuat sebarang keputusan mengenai cadangan peruntukan cuti umum untuk Aidiladha, yang kebetulan jatuh pada tempoh pengajaran dan pembelajaran (PDP) berikutan perubahan takwim persekolahan 2020.
Timbalan Menteri Pendidikan I, Dr Mah Hang Soon berkata, kementerian akan mengumumkan sebarang keputusan mengenai keperluan untuk meminda cuti tersebut.
"Setakat ini, belum ada perkembangan mengenai hal itu," katanya kepada wartawan setelah mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Tun Uda, Bayan Baru, hari ini.
Sebelum ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan beberapa NGO telah meminta kementerian pendidikan untuk mempertimbangkan semula cuti sekolah bersempena Aidiladha pada 31 Julai.
Takwim persekolahan yang dipinda oleh kementerian menyaksikan perubahan cuti sekolah untuk Aidiladha, iaitu dipendekkan kepada dua hari iaitu dari 31 Julai hingga 1 Ogos.