MB Kedah pertahan tindakan roboh kuil hindu

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor semalam mempertahankan tindakan merobohkan sebuah kuil Hindu dekat stesen kereta api dekat sini baru-baru ini, sambil menjelaskan bahawa tindakan itu sah dengan pemberitahuan yang mencukupi diberikan kepada penjaga.

Dalam sidang media, beliau berkata Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah mengeluarkan empat notis sejak 10 Januari tahun lalu.

Beliau berkata kali terakhir notis diberi adalah pada 17 Jun.

Beliau juga berkata kerajaan Kedah telah menawarkan kepada penjaga sebuah tempat alternatif untuk kuil itu, namun mereka telah menolak permintaan itu kerana "dicucuk" oleh pihak ketiga.

“Boleh pindah ke tempat disediakan, tapi oleh kerana ada cucuk jarum P Ramasamy,” katanya merujuk timbalan ketua menteri Pulau Pinang II.

“Pulau Pinang pun (ada perkara) tak selesai – (dia patut) balik ke Pulau Pinang.”

Kuil itu yang terletak di bawah sepohon pokok di seberang stesen kereta api Alor Setar, dirobohkan MBAS pada awal pagi 9 Julai lalu.

MBAS sudah menyerahkan notis pengusiran untuk rancangan perobohan itu beberapa minggu lebih awal atas alasan ia dibina “secara haram” di tanah rizab jalan dan mengganggu aliran lalu lintas.

Ramasamy antara individu yang membantah perobohan itu.

Sanusi berkata, kuil itu mungkin diperluaskan dan menimbulkan “masalah lebih besar” jika kerajaan negeri tidak mengambil tindakan.

Beliau turut menolak dakwaan penjaga kuil itu yang ia berusia hampir 100 tahun kerana ia hanya berusia kira-kira 70 tahun.

“Saya minta maaflah kepada penganut kuil itu kerana ini undang-undang dan tindakan terpaksa diambil.”

“Kita bukan berlaku tidak adil kepada satu kaum. Ini bukan isu rasis. Ini isu peraturan, undang-undang.”

Mengenai kuil yang bersaiz 8 kali 12 kaki itu, katanya: “Boleh bawa balik rumahlah kalau suka, bukan besar sangat.”

Beliau berkata, penjaga kuil itu pernah berjumpa dengannya untuk merayu terhadap arahan perobohan yang diberikan MBAS. Mereka kemudiannya diberikan tempoh sebulan untuk berpindah, tetapi apabila beliau mendapati kuil itu dibina secara haram, beliau memberi masa 10 hari kepada mereka berpindah.

Katanya, mesyuarat exco turut memberikan mereka tambahan masa 7 hari.

“Dia janji dengan saya, bagi tempoh saya (mereka) akan pindah. Dia ada peraturan yang dikuatkuasakan MBAS, ada akta.

“Sekarang mereka pergi sembahyang itu pokok pula (tapak lama kuil itu), nak timbulkan suasana yang tak harmoni di Kedah.”

Katanya, mereka yang mahu tinggal dalam keadaan sedemikian boleh “pindahlah tinggal di Pulau Pinang” kerana penduduk di Kedah “perlu mematuhi peraturan”.

Ditanya jika saki-baki kuil itu sudah dipulangkan kepada penjaganya, beliau berkata: “You mahukah? Saya tengok gambar kaki dia patah. Patung itu kecil saja, besar tinggi lututlah lebih kurang.”

Mengenai satu laporan polis yang dibuat terhadapnya berhubung perobohan itu, katanya, beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dan bersedia disiasat.