NEW YORK: Bekas juara tinju heavyweight dunia, Mike Tyson, bakal membuat penampilan semula ke gelanggang tinju selepas 15 tahun bersara.
Legenda berusia 54 tahun itu dijadualkan bertarung dengan Roy Jones Jr dalam pertarungan pertunjukkan membabitkan lapan pusingan.
Pertarungan itu ditetapkan pada 12 September ini di Dignity Health Sports park di Carson, California.
Tyson telah bersara dari dunia tinju pada tahun 2005 namun mengumumkan kemunculannya semula dalam laman web peribadinya Legends Only League hari ini.
Dalam kejohanan terakhirnya itu dia ditewaskan oleh peninju Ireland, Kevin McBride.
Ia merupakan kekalahan keenam dan 50 kemenangan direkodkan daripada keseluruhan 58 pertarungan dalam kariernya.
Suruhanjaya Olahraga Negeri California telah memberi kelulusan untuk menganjurkan pertarungan melibatkan Tyson pada September ini yang dinanti-nantikan jutaan peminatnya.
Tyson muncul sebagai ahli tinju termuda di dunia yang merangkul gelaran dunia dengan menundukkan Trevor Berbick pada tahun 1986.
Jones Jr dalam video promosinya menyifatkan pertarungan bersama Tyson sebagai perlawanan antara David dan Goliath.
Tyson dalam video promosi oleh ESPN menyifatkan peminat dunia tinju bakal menyaksikan Tyson yang 100 peratus muda di atas ring dan bersiap sedia untuk beraksi di gelanggang tanpa masalah.
“Saya percaya boleh melakukannya (tinju) sebab itu saya kembali ke gelanggang semula kali ini. Hanya kerana saya sudah 54 tahun, tidak semestinya hidup kita sudah berakhir di sini dan perlu memulakan hidup baharu.
“Saya rasa telah berjaya menjaga kesihatan badan dan stamina dengan baik selama ini untuk kembali semula,” katanya.