KUALA LUMPUR, 30 Julai ㅡ Muafakat Nasional (MN) mengesahkan telah membuat pelawaan rasmi kepada Bersatu untuk menyertai pakatan itu, menurut setiausaha bersama Sekretariat MN, Tan Sri Annuar Musa hari ini.
Katanya, presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku presiden Bersatu telah membincangkan perkara itu sejak berbulan yang laly.
“Kira-kiranya, kami sudah mempelawa secara rasmi, namun kami tidak tergesa-gesa. Setiap parti ada prosedur, termasuk membawa cadangan itu ke Majlis Tertinggi parti masing-masing untuk dibincangkan.
“Kami hanya tunggu keputusan mereka. Apa yang penting bagi Bersatu, Umno dan PAS ialah kita harus kekalkan hubungan kerjasama yang harmoni,” katanya kepada pemberita selepas melawat Taman Awam Bukit Kiara di sini.
Terdahulu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof telah menyangkal kenyataan Zahid bahawa parti itu telah memohon untuk menyertai MN.
Redzuan berkata, sebaliknya Bersatu sendiri yang menerima jemputan untuk menyertai gabungan tersebut.
“PM (Muhyiddin) tidak pernah mohon sertai MN, cuma dijemput oleh MN sendiri," katanya.
MN merupakan pakatan kerjasaman politik UMNO dan PAS yang ditubuhkan pada Himpunan Penyatuan Ummah, 14 September tahun lepas.
Mengulas lanjut, Annuar yang juga menteri Wilayah Persekutuan yakin perkara itu akan selesai menjelang ulang tahun pertama kerjasama pakatan itu berkenaan.