KUALA LUMPUR:
Kejayaan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) melantik speaker baru
Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menggantikan Tan Sri Mohammad Ariff Md
Yusoff walaupun dengan perbezaan hanya 2 undi tetap memberi indikasi Muhyiddin
Yassin berjaya peroleh majoriti.
Penganalisis
politik Mohd Izani Mohd Zain dari Universiti Putra Malaysia berkata, tidak
dinafikan blok pembangkang diketuai Anwar Ibrahim mempunyai kekuatan dan
pengaruh hampir sama dengan blok kerajaan, namun dalam amalan demokrasi, perbezaan
1 undi sudah memadai.
“Jika melihat
kepada jumlah undi tersebut, tidak dinafikan kekuatan kerajaan hampir sama
dengan kekuatan pihak pembangkang, tetapi kekuatan kerajaan juga bergantung
kepada sokongan rakyat di luar, selain semua pihak berkepentingan, termasuk
penjawat awam,” katanya.
Izani berkata,
beliau juga tidak melihat sebarang masalah buat pentadbiran Muhyiddin untuk
membahaskan usul dan rang undang-undang (RUU) pada masa depan, memandangkan
Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-14 baru sahaja bermula
semalam.
“Jika usul hanya
perlu majoriti mudah, ia tidak ada masalah dan ia boleh tercapai. Melainkan
usul pindaan perlembagaan yang memerlukan majoriti 2/3. Ada juga keadaan
apabila usul kerajaan turut disokong oleh ahli Parlimen yang berbeza, termasuk
Bebas,” katanya.
Semalam Ariff
tersingkir daripada jawatan speaker dengan hanya perbezaan tipis 2 undi. Dalam
undian belah bahagi, usul kerajaan untuk Ariff mengosongkan jawatan itu
disokong 111 ahli Parlimen mengatasi 109 yang menolak.
Sementara itu, Azmi
Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, jika hanya memperoleh
kelebihan 1 undi akan tetap memberi kemenangan kepada Muhyiddin, memandangkan
ini merupakan usul pertama dibentangkan selepas menjawat jawatan perdana
menteri.
“Secara tersiratnya,
Muhyiddin sebagai perdana menteri mempunyai undi majoriti tipis, iaitu hanya 2
kerana babitkan isu yang begitu partisan, iaitu undi mengikut kehendak parti.
“Saya juga tidak
menjangkakan majoriti tipis ini akan terbawa apabila RUU dibentangkan.
“Tidak syak
perbahasan RUU juga akan menjadi panas, tetapi kehangatannya hanya berkait kepada
perbahasan kandungan RUU.
“Kepentingan
kelulusan RUU tidak bergantung kepada pendirian parti, sebaliknya kandungannya.
Contohnya RUU membabitkan Covid-19, ia adalah untuk kepentingan dan kelangsungan
ekonomi negara,” katanya.
Terdahulu, Menteri
Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan sepatutnya
mendapat 113 undi, namun terdapat dua ahli parlimen yang tidak dapat mengundi
semalam.
"Satu orang
Ahli Parlimen kerajaan tidak hadir kerana sedang dirawat di hospital manakala
satu Ahli Parlimen kerajaan tidak mengundi kerana mempengerusikan persidangan
Dewan Rakyat," jelas Ismail.
Ahli parlimen yang dimasukkan ke hospital tersebut dipercayai Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Maximus Ongkili.