Muhyiddin ucap tahniah kepada Lee Hsien Loong


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong atas kejayaan Parti Tindakan Rakyat (PAP) mengekalkan mandat untuk menerajui kepemimpinan negara itu bagi tempoh lima tahun akan datang.

"Sebentar tadi saya membuat panggilan telefon kepada Tuan Yang Terutama Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Singapura bagi mengucapkan tahniah selepas parti pimpinan beliau iaitu PAP memenangi pilihan raya umum Singapura yang berlangsung kelmarin.

"Saya yakin hubungan dua hala sedia ada antara kedua-dua negara akan terus berkembang di bawah kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri," kata Muhyiddin menerusi akaun Facebook rasmi beliau, hari ini.

PAP yang memerintah republik itu sejak 1959 menguasai 83 daripada 93 kerusi yang ditandinginya pada pilihan raya umum Singapura 2020.

Setelah mengambil kira pertambahan empat kerusi dalam pilihan raya umum kali ini, pembangkang Singapura berjaya menambah empat kerusi baharu.

Parti Pekerja (WP) berjaya mempertahankan enam kerusinya di kawasan pilihan raya perwakilan kumpulan (GRC) Aljunied lima anggota dan kawasan pilihan raya perwakilan tunggal (SMC) Hougang serta menang kerusi baharu di GRC Sengkang empat anggota.