JOHOR BAHRU: Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
yakin pengagihan kerusi membabitkan parti komponen dalam Perikatan Nasional
(PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), mampu ditangani dengan baik.
Beliau berkata sebarang isu
perbezaan pendapat berhubung pengagihan kerusi, diyakini dapat diselesaikan
oleh Majlis Presiden dan Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional, secara harmoni.
“Rundingan bersama (antara
komponen PN) akan bincang dalam masa terdekat...proses rundingan kerusi ini
akan berjalan dan mengambil masa, tetapi kita yakin boleh selesai dengan baik.
“Secara prinsipnya kita akan
kekal di negeri-negeri yang didominasi setiap parti,” katanya yang ditemui
pemberita selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya PAS Johor, di sini, malam
tadi.
Beliau berkata demikian sebagai
mengulas laporan sebuah portal semalam, berhubung terdapat pemimpin UMNO yang
tidak bersetuju, sekiranya Kedah dan Terengganu diserahkan 'bulat-bulat' kepada
PAS pada PRU15.
Ini kerana ada pemimpin
beranggapan bahawa UMNO masih mempunyai kekuatan di dua negeri terbabit, dan
kegagalan dalam PRU14 adalah disebabkan pertembungan tiga penjuru.
Tuan Ibrahim yang juga Menteri
Alam Sekitar dan Air dalam masa sama menyifatkan, pandangan pemimpin UMNO
tersebut sebagai pandangan peribadi mereka, dan PAS tidak mempunyai masalah
mengenainya.
“Pandangan-pandangan daripada
individu itu dianggap pandangan peribadi masing-masing, kita tidak boleh sekat
pandangan masing-masing”, katanya.
Mengenai persiapan PRU15, beliau
berkata parti itu sudah bersedia menghadapinya dan sedang menggiatkan usaha
menambah keanggotaan, di setiap negeri.
“Kalau tengok dalam kerjasama antara PAS dan UMNO serta parti-parti lain (komponen), kita yakin kita akan tambah kemenangan kita. Sebab kalau dahulu UMNO dan PAS bersendirian pun kita sudah capai kemenangan, sekarang dengan gabungan muafakat, kita yakin kita akan dapat lebih baik dari sebelum ini,” katanya. – BERNAMA