KUALA LUMPUR, 25 Julai – Pasangan pengguna YouTube sensasi, S Pavithra dan M Sugu berkata, mereka tidak mahu lagi mempunyai kaitan dengan saluran itu selepas mendakwa ia menjadi sebab mereka memadamkan kesemua 98 video aktiviti masakan kendalian mereka semalam.
Akhbar Sinar Harian melaporkan, Sugu, 29, berkata, mereka mengambil keputusan untuk tidak lagi terlibat dengan sebarang perkara yang boleh meraih perhatian umum.
“Kami buat itu (padam video) kerana tak nak sebarang kaitan dengan YouTube lagi.
“Biar kami kekal satu keluarga biasa sahaja.
“Ramai YouTuber masakan dan yang hebat-hebat dan bagus ada, tetapi kenapa kami jadi tumpuan. Biar kami beri perhatian pada keluarga,” katanya.
Semalam, Pavithra memadam semua kandungan video yang dimuatnaiknya, termasuk video masakan yang sebelum ini menjadi perhatian netizen seluruh negara.
Pavithra menyertai YouTube sejak 28 Januari lalu dan sepanjang tempoh itu, video yang dimuatnaiknya ditonton lebih 34 juta pengunjung dan mengumpul 786 ribu pengikut.
Dalam pada itu, ruang “Community” saluran YouTube milik Pavithra, masih memaparkan beberapa gambar, antaranya pertemuan pasangan berkenaan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan jaguh bina badan negara, Sazali Samad.
Sugu berkata, beliau belum memikirkan perancangan masa hadapannya.
Sementara itu ibu Sugu, G Rajeswari, 55, berharap hubungan anak dan menantunya itu bertambah baik setelah mengharungi pelbagai masalah sejak beberapa hari lalu.
“Saya ada mengikuti perkembangan mereka di televisyen dan saya harap mereka dapat mengharungi cabaran itu bersama-sama.
“Sebagai ibu, semestinya saya berasa bimbang dengan keadaan mereka,” katanya, lapor akhbar itu lagi.
Sebelum ini timbul dakwaan tentang konflik membabitkan Pavithra dan suaminya yang dilaporkan berniat untuk mencederakan beliau.