KUALA KANGSAR: Keputusan bedah
siasat dan hasil ujian swab ke atas pelajar Tingkatan Tiga yang dilaporkan
meninggal dunia di sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur
didapati negatif COVID-19.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk
Seri Dr Adham Baba, pihaknya kini sedang menunggu laporan kimia bagi mengetahui
punca sebenar kematian mangsa.
“KKM dah buat post mortem kita
dah buat swab kepada mangsa yang meninggal dunia itu dan disahkan negatif
COVID-19 dan tidak ada faktor COVID-19 dan post mortem telah dibuat kita akan
menunggu laporan kimia selanjutnya sebelum dapat kita umumkan,” katanya.
Beliau berkata demikan kepada
pemberita selepas menandatangani dokumen penyerahan Projek Pembinaan Klinik
Kesihatan (Jenis 3) dan Kuarters Kuala Kangsar pada Sabtu.
Turut hadir Timbalan Menteri
Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.
Pada Rabu seorang pelajar lelaki
berusia 15 tahun dilaporkan meninggal dunia di sebuah sekolah menengah di
Bandar Tun Razak.
Menurut sumber, pelajar Tingkatan
Tiga itu dalam keadaan sihat sebelum mangsa tiba-tiba pengsan di dalam kelas di
sekolah berkenaan.
Mangsa dihantar ke Hospital
Canselor Tuanku Muhriz untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia.
Sementara itu Dr Adham berkata,
tiada bukti bahawa pemakaian pelitup muka boleh menjejaskan kesihatan atau
menganggu pernafasan, begitu juga pemakaian di dalam kelas.
Menurutnya, pemakaian pelitup
muka perlu bersesuaian mengikut saiz yang berpadanan dengan kanak-kanak bagi
memastikan keselesaan kepada mereka semasa mengenakannya dalam mencegah
penularan wabak COVID-19.
Terdahulu Adham menyaksikan
penyerahan dokumen projek pembinaan klinik berkenaan daripada Timbalan Ketua
Pengarah Kerja Raya (Sektor iIfra) yang menjalankan tugas Ketua Pengarah Kerja
Raya, Zulakmal Sufian.
Klinik Kesihatan yang dibina dengan reka bentuk luaran moden dengan kos RM28.27 juta itu akan dibuka tidak lama lagi dan berupaya menerima kedatangan pesakit seramai 300 sehingga 500 setiap hari.
BACA: Pelajar Tingkatan Tiga meninggal dunia selepas pengsan di sekolah