KUALA LUMPUR, 31 Julai -- Malaysia bakal menguatkuasakan peraturan baharu yang mewajibkan semua rakyat memakai pelitup muka ketika menggunakan pengangkutan awam dan berada di tempat awam yang sesak bermula esok, 1 Ogos.
Penguatkuasaan peraturan ini muncul selepas peningkatan jumlah kes positif COVID-19 sejak beberapa hari lalu dengan kluster baharu turut dikesan di beberapa negeri.
Peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) itu membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap sesiapa yang gagal mematuhi arahan tersebut.
Di bawah akta itu, pesalah boleh dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama oleh mahkamah. Mereka yang didapati melakukan kesalahan berulang berdepan hukuman lebih berat.
Peraturan ini diumumkan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis, 23 Julai lalu.
Menurut beliau, kerajaan telah mengambil keputusan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka selepas mendapati trend jangkitan COVID-19 semakin meningkat manakala kadar pematuhan orang awam terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan Kementerian Kesihatan (KKM) semakin diabaikan.
“Prosedur operasi standard di tempat awam yang sesak terutama yang tertutup juga didapati tidak diendahkan segelintir pihak. Oleh itu, kerajaan telah membuat keputusan mulai 1 Ogos 2020, pemakaian pelitup muka dalam pengangkutan awam dan di tempat awam yang sesak adalah diwajibkan,” katanya.
Pada 17 Julai lepas, Malaysia mula menyaksikan peningkatan mendadak kes baru positif COVID-19.
Sehingga Jumaat, 31 Julai, negara mencatatkan 12 kes baru dengan tujuh daripadanya adalah penularan tempatan.
Manakala, lima lagi kes adalah kes import membabitkan dua warganegara Malaysia dan tiga bukan warganegara.
Kegusaran berhubung pertambahan kes baru harian di Malaysia turut disuarakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas pada Isnin, 20 Julai lepas.
Beliau mengingatkan rakyat supaya tidak alpa dalam usaha mencegah penularan pandemik itu.
Dalam perutusannya, beliau memberikan amaran bahawa kerajaan mungkin terpaksa mengembalikan semula pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekiranya kes di dalam negara meningkat secara mendadak.
“Situasi ini tidak boleh diambil mudah oleh kita semua. Saya pasti saudara saudari tidak mahu kerajaan kembali melaksanakan ‘lockdown’ sekiranya kes COVID-19 meningkat dengan mendadak. Saya juga berdoa dan berharap agar kita tidak perlu sampai ke tahap itu,” katanya.
Mesti mengikut spesifikasi WHO
Perincian mengenai spesifikasi pelitup muka telah dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian mengenai COVID-19 pada Khamis, 23 Julai.
Beliau berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan jenis fabrik atau kain dengan 3 lapisan yang terdiri daripada:
- Lapisan paling dalam yang bersifat menyerap air (hidrofilik), misalnya kapas atau campuran kapas;
- Lapisan paling luar yang diperbuat daripada bahan bersifat menghindar penyerapan air (hidrofobik), misalnya polipropilena, poliester, atau campurannya. Lapisan ini boleh mengehadkan pencemaran dari luar daripada menembus masuk ke hidung dan mulut pemakai; dan
- Lapisan tengah hidrofobik yang diperbuat daripada bahan bukan tenunan sintetik seperti polipropilena atau lapisan kapas yang boleh meningkatkan penapisan atau menahan titisan cecair.
Beliau turut mengingatkan rakyat agar menggunakan pelitup muka dengan cara yang betul iaitu menutup ruang hidung sehingga dagu.
Menurutnya, pemakaian pelitup muka yang tidak betul seperti membiarkannya tergantung di leher atau diletakkan di dahi atau hanya menutup sebahagian daripada hidung dan mulut akan membawa risiko pencemaran atau jangkitan.