KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata isu pembukaan semula sesi persekolahan di negeri itu akan dibincangkan esok.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata pihaknya masih memerlukan maklum balas daripada pihak sekolah berhubung pembukaan semula sekolah ekoran kes baru positif COVID-19 di negeri itu sejak beberapa hari yang lalu.

"Semua kes sebelum ini berlaku di Kuching dan satu kes berlaku di Bintulu hari ini," katanya pada sidang media hari ini.

Pada 1 Julai yang lalu, Menteri Kanan (Kluster Pendidikan dan Sosial), Dr Radzi Jidin mengumumkan sesi persekolahan untuk pelajar Tingkatan 5 dan Tahun 6 serta Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 Semester 1 akan bermula pada 15 Julai ini.

Manakala, pembukaan sesi persekolahan bagi pelajar Tahun 1 hingga Tahun 4 adalah pada minggu seterusnya iaitu 22 Julai.

Dalam pada itu, Uggah berkata pihaknya akan mengumumkan langkah tambahan untuk persediaan gelombang kedua dan memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.