KOTA KINABALU, 31 Julai ㅡ Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata parti itu akan menawarkan "perjanjian baru" kepada rakyat Sabah dalam pilihan raya negeri kelak yang akan menyaksikan kualiti kehidupan dan pembangunan di Sabah bertambah baik.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata pembubaran DUN, yang membuka jalan untuk pilihan raya negeri, adalah kaedah terbaik untuk menyelesaikan krisis politik di negeri itu.
Beliau juga menyuarakan keyakinan bahawa rakyat Sabah akan membuat pilihan yang tepat.
"Kami akan menyerahkan kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang mereka benar-benar percaya dapat mentadbir negeri."
Begitu juga, katanya, UMNO dan Barisan Nasional yakin bahawa rakyat Sabah tidak akan memilih kerajaan negeri yang salah.
Beliau juga berkata UMNO Sabah tidak terlibat dalam tindakan merebut kerajaan negeri itu dari Warisan, dan berkata bahawa ia adalah perjanjian antara pelbagai pihak.
Kerajaan Sabah telah mewartakan pembubaran DUN semalam.
Perkara ini terjadi setelah Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan bahawa beliau telah mendapat persetujuan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, yang juga menandatangani deklarasi bertulis.
Bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman sebelum ini mendakwa beliau telah mendapat sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan baru.
Musa, ADUN Sungai Sibuga, juga berkata pembubaran DUN tidak wajar kerana beliau mendapat sokongan majoriti dan negeri itu sedang berdepan COVID-19.