SINGAPURA, 25 Julai: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong mengumumkan barisan kabinet beliau yang baharu pada Sabtu, 15 hari selepas Parti Tindakan Rakyat (PAP) memperolehi 61.24 peratus undi dalam pilihan raya umum yang lalu.
Tiga penyandang jawatan politik akan bersara, manakala enam yang lain bakal dinaikkan pangkat. Selain itu, akan ada tujuh penyandang jawatan politik yang baru. Semua perubahan ini akan berkuat kuasa 27 Julai melainkan dinyatakan sebaliknya.
Hsien Loong akan terus memimpin negara itu sebagai Perdana Menteri.
Heng Swee Keat akan dikekalkan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan. Beliau juga akan menyandang tugas sebagai Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi.
Teo Chee Hean akan terus menyandang jawatan sebagai Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara manakala Tharman Shanmugaratnam kekal selaku Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial.
Hsien Loong berkata kabinet baru bermatlamat untuk mengimbangi kesinambungan, pendedahan dan pembaharuan serta menjadi sebuah pasukan yang akan memimpin negara itu mengharungi krisis-krisis kesihatan awam dan ekonomi selain mencarta masa depan negara.
"Pertama, kesinambungan. Dalam waktu-waktu biasa, kita memerlukan barisan menteri berpengalaman untuk menerajui tampuk kepimpinan yang stabil serta juga membimbing para menteri muda. Dalam krisis ini, keperluan ini bahkan semakin genting," tambah beliau sambil menarik perhatian bahawa menteri-menteri mapan seperti Encik Gan Kim Yong dan Encik K Shanmugam akan kekal dalam Kabinet.
"Kedua, saya akan menggilirkan menteri terutamanya yang muda untuk mendapatkan pendedahan dan mencedok pengalaman. Kami kerap melakukannya semasa rombakan kabinet dan tujuannya adalah untuk mendedahkan penjawat politik kepada portfolio berbeza, untuk meraih kedua-dua bidang dan memperluaskan pemahaman dan kesulitan isu-isu serta melihatnya daripada perspektif berlainan. Hakikatnya, daripada perspektif peringkat nasional.
"Ketiga, saya akan memperbaharui barisan menteri dan membawa masuk anggota baru serta menaikkan pangkat beberapa pemegang jawatan politik yang lebih muda dan ahli parlimen yang belum menyandang jawatan politik tetapi sudah memperlihatkan prestasi yang baik.
"Saya juga akan membawa masuk muka-muka baru daripada ahli parlimen baru dilantik, termasuk sebilangan daripada sektor privet dan salah seorang daripada mereka sebagai menteri penuh. Mereka akan memperkukuhkan pasukan saya dan menyuntik idea serta perspektif baru."
Secara keseluruhannya, kabinet baharu akan membariskan 37 pemegang jawatan politik, sama seperti kabinet yang lalu.