SHAH ALAM: Dua individu dipercayai wanita yang terbabit dalam tindakan biadap dan perbuatan vandalisme dengan menconteng kata kesat pada mural gergasi potret beberapa pemimpin negara di Taman Cahaya Alam Seksyen U12 sedang dikenal pasti polis.
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Baharudin Mat Taib, dua individu itu dikesan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang pada bangunan kedai berdekatan lokasi kejadian.
“Kami sedang mengesan mereka…beri masa kepada polis untuk menyiasat perkara ini dan diharap mana-mana pihak tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, siasatan berkaitan kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 504/427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 5 tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Kejadian vandalisme ke atas mural gergasi potret beberapa pemimpin negara tersebut disedari seorang pekerja restoran yang kebetulan lalu di kawasan itu kira-kira 8 pagi tadi.
Mural gergasi itu yang dilukis pada dinding sebuah bangunan kedai memaparkan potret Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diconteng dengan kata kesat "BABI" menggunakan cat merah.
Mural itu adalah hasil karya 3 anak muda iaitu Muhammad Suhaimi Ali, 27, Muhamad Firdaus Nordin, 26, dan Abdul Hadi Ramli, 27 tahun.