AYER KEROH, 31 Julai -- Pakatan Harapan yakin konflik politik yang berlaku di negeri Sabah tidak akan memberi impak kepada kejatuhan mereka.
Menurut Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau yakin rakyat begitu memahami sepak terajang politik dalam kalangan ahli parlimen mahupun pemimpin, namun perubahan angin kesetiaan segelintir mereka tidak semestinya mewakili aspirasi rakyat.
Katanya, dalam situasi sekarang tiada sebab untuk mereka membuat perubahan dengan mengkhianati parti dan seharusnya mereka yang diberikan mandat oleh rakyat memfokuskan untuk memperkukuhkan hubungan parti.
"Tidak ada sebab apa perubahan begini dan sudah pasti rakyat faham namun sekarang bermacam-macam pengkhianatan dan sekarang kerajaan Perikatan Nasional.
"Kadang-kadang orang salah faham telahan percaturan politik golongan kelompok atasan itu mewakili aspirasi rakyat, sedangkan ia tidak semestinya," katanya.
Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada program Jelajah Presiden PKR ke Melaka dekat sini, malam semalam.
Hadir sama Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.