IPOH: Kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN) Perak akan menyokong sesiapa sahaja yang dinamakan sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, bulan depan.
Menurut Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, parti Bersatu, UMNO dan PAS bersepakat agar tiada pertembungan antara mereka dalam PRK tersebut, dan memberi sokongan kepada sesiapa sahaja bagi mewakili gabungan PN.
“Alhamdulillah, hari ini parti daripada PN bersatu hati, pastikan tidak ada berlaku pertembungan di antara kami, di dalam PRK tersebut.
“Kita akan pilih seorang calon dan ketiga-tiga parti akan memberi sokongan penuh kepada calon tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pertukaran dokumen Komitmen Pelaburan Negeri Perak, melibatkan tujuh syarikat dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.
PRK DUN Slim akan diadakan 29 Ogos, berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lepas.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, Mohd Khusairi yang mewakili Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket PKR Mohd Amran Ibrahim, dan calon PAS Muhammad Zulfadli Zainal.
