IPOH, 26 Julai -- UMNO Perak sedang mengumpul maklumat calon yang dicadangkan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim bulan depan.

Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad yang dilantik sebagai pengarah PRK DUN Slim berkata, maklumat profil calon yang dicadangkan pelbagai pihak itu akan diserahkan kepada presiden parti dan Jawatankuasa Pengurusan Parti untuk diselidik terlebih dahulu.

“Kami masih mempunyai masa sebelum proses penamaan calon pada 15 Ogos nanti. Nama-nama yang dicadangkan akan disenarai pendek sehingga calon paling sesuai dipilih untuk bertanding,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan UMNO Perak malam tadi.

Beliau berkata, agenda mesyuarat itu turut melibatkan perbincangan PRK itu yang menyaksikan 24 ketua UMNO bahagian di Perak serta ketua sayap bersetuju sehati sejiwa bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN).

Saarani berharap Perikatan Nasional (PN) Perak yang terdiri daripada BN, PAS dan Bersatu akan memberi sokongan padu kepada calon yang akan dipilih bagi mewakili gabungan itu.

“Insya Allah calon daripada BN akan mendapat sokongan PAS dan Bersatu seperti yang berlaku di PRK DUN Chini, Cameron Highlands dan Rantau.”

Beliau berterima kasih kepada Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu yang juga pengerusi Bersatu Perak atas sokongan penuh kepada calon yang akan mewakili PN.

Saarani akan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk yang pertama di Tanjung Malim petang ini selepas memberi taklimat kepada ketua pusat mengundi.

Beliau dijangka mengadakan perjumpaan dengan semua ahli jawatankuasa UMNO Tanjung Malim malam ini bagi membentangkan beberapa agihan jadual kerja dan perkara diputuskan Majlis Tertinggi.

PRK DUN Slim akan diadakan 29 Ogos ini susulan kematian penyandangnya Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lalu.

Pada piihan raya umum ke-14 lalu, Khusairi yang mewakili BN mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dengan 32 dikuasai Perikatan Nasional yang terdiri daripada UMNO (25), Bersatu (4), PAS (3), manakala DAP (16), Amanah (5), PKR (3), bebas (2) serta Gerakan (1).