KUANTAN, 31 Julai -- Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah melahirkan rasa kesal terhadap tindakan ADUN Pahang daripada parti DAP yang memulakan prosiding mahkamah berhubung ketetapan kerajaan negeri Pahang mewajibkan penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda dan iklan di negeri itu.
Beliau berpandangan walaupun setiap individu mempunyai hak untuk ke mahkamah, tindakan memulakan prosiding tersebut adalah tidak kena pada tempatnya.
"Mereka harus faham tentang kedudukan tulisan Jawi di tanah air dan kedua, mereka juga harus faham mengapa tulisan Jawi ingin dihidupkan kembali…iaitu untuk dipopularkan kegunaannya di tempat awam," katanya.
Semalam, sebuah portal berita melaporkan ADUN Tras, Chow Yu Hui menerusi peguamnya M Manogaran, Jonathan and Chong Kar Yan telah memfailkan permohonan mencabar ketetapan kerajaan negeri Pahang mewajibkan penggunaan tulisan Jawi.
Permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuantan pada Rabu dengan menamakan Majlis Daerah Raub sebagai responden pertama manakala kerajaan negeri Pahang dinamakan sebagai responden kedua.
Pada masa yang sama, ADUN Kota Anggerik, Selangor daripada parti PKR, Mohd Najwan Halimi turut mengingatkan Chow supaya tidak berlagak seperti 'hero'.
Dalam catatan beliau di Twitter, Najwan berkata Chow tidak perlu mencari publisiti murahan dengan mempersoalkan pelaksanaan tulisan Jawi di negeri itu.
“ADUN Tras tak perlu cari publisiti murah nak persoal penggunaan tulisan Jawi.
Buatlah kerja yang berfaedah dan bermanfaat untuk rakyat. Jangan nak tunjuk hero tak tentu pasal!,” kata Najwan.
Kerajaan negeri Pahang mewajibkan pengunaan tulisan Jawi bermula 1 Jan lalu, selari dengan titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 13 November 2018 yang mahu tulisan itu diperkasakan dan dibudayakan semula.