IPOH: Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan perintah reman selama tiga hari terhadap suami seorang YouTuber sensasi, dipercayai Sugu Pavithra, bermula hari ini.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Nabihah Mohd Noor terhadap lelaki berusia 29 tahun itu selepas membenarkan permohonan polis bagi membantu siasatan atas dakwaan memiliki senjata berbahaya, mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Lelaki itu yang tiba di mahkamah pada 10 pagi dengan memakai baju lokap berwarna ungu ditahan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) petang semalam.
Difahamkan, dalam kejadian di luar wad bersalin HRPB pada 5.54 petang semalam, anggota polis yang bertugas di pondok hospital itu menerima panggilan daripada jururawat menyatakan suspek dalam keadaan mabuk datang membawa sabit mencari adik iparnya kerana masalah keluarga.
Kejadian itu dipercayai berpunca akibat salah faham di antara suspek dan isterinya berkaitan satu majlis di sini, pada Isnin lepas.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A. Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi Bernama berkata selain mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, kes akan turut disiasat menurut Seksyen 326A dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.