KUALA LUMPUR, 29 Julai ㅡ Pengguna YouTube sensasi, Sugu Pavithra kembali ke platform media sosial dengan resipi dalca tulang kambing.
Video berdurasi 6.15 minit itu dimuat naik petang tadi dan mendapat lebih daripada 98,000 tontonan dalam masa tiga jam.
Beberapa peminat saluran itu juga memberi komen positif yang menyokong usaha Pavithra untuk meneruskan video masakannya.
"Kami semua rindu masakan Sugu Pavithra. Jangan hiraukan komen-komen negatif beberapa individu," kata seorang pengguna Mohd Jefri Ali Basah.
Pengguna lain, Nurul Hidayah Ghazali juga menyatakan sokongan kemunculan semula Pavithra.
"Saya berharap anda akan kongsi lebih banyak resipi pada masa depan," katanya.
Suami Pavithra, M Sugu semalam mengakui telah membuang semua video di saluran tersebut atas alasan peribadi.
Pada Jumaat, Sugu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh kerana memiliki senjata berbahaya dan menyebabkan kecederaan pada isterinya, dua hari sebelumnya.
Namun, Pavithra sejak itu berkata bahawa beliau telah memaafkan suaminya.
Pavithra juga berkata pasangan itu menolak pengiktirafan atau penghormatan dari mana-mana pihak, dan ingin memberi tumpuan untuk menghasilkan video memasak di YouTube.