IPOH: Pasangan Youtuber sensasi, S. Pavithra dan M. Sugu
enggan menerima sebarang penganugerahan ikon susulan perselisihan faham yang
berlaku dalam keluarga mereka selepas pengiktirafan Ikon Anak Bandar Raya Ipoh
Tahun 2020 baru-baru ini.
Pavithra, 28, yang diumum sebagai
penerima anugerah ikon berkenaan daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), berkata
mereka sebaliknya mahu menumpu kepada penghasilan video masakan menerusi
saluran Youtube seperti biasa.
"Saya tidak layak untuk
menerima pengiktirafan ikon Perak atau apa-apa pengiktirafan lagi selepas ini.
"Ramai lagi yang lebih layak
kerana berbakat dalam pelbagai bidang untuk menerima pengiktirafan itu, jadi
janganlah pilih kami," katanya ketika ditemui pemberita semasa menghadiri
pendakwaan suaminya di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Sugu, 29, didakwa atas dua
pertuduhan di mahkamah berkenaan hari ini kerana memiliki senjata berbahaya dan
menyebabkan kecederaan ke atas isterinya, Selasa lepas.
Ibu kepada dua anak itu berkata
penolakan pengiktirafan itu juga bertujuan untuk mengelakkan orang ramai
daripada berasa iri hati terhadap kehidupan mereka sehingga menimbulkan
perselisihan faham.
Pavithra berkata beliau telah memaafkan Sugu dan mereka berhasrat untuk meneruskan kehidupan normal bersama keluarga tanpa dikenali orang ramai seperti dahulu termasuk tidak mahu melibatkan diri dengan mana-mana ahli politik. – BERNAMA