Sultan Selangor murka vandalisme mural pemimpin negara


KUALA LUMPUR: Tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menconteng mural gergasi pemimpin negara mengundang murka Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook rasmi pihak diraja Selangor, Sultan Sharafuddin bertitah, perbuatan contengan kata-kata kesat di atas lukisan mural gambar Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Kesihatan serta beberapa pemimpin lain ini biadap.

"Baginda juga kesal dan kecewa kerana kejadian ke atas sebuah hasil karya seni ini berlaku di negeri Selangor. Apatah lagi, Baginda amat menghargai karya seni pelukis tempatan seumpamanya," menurut kenyataan itu lagi.

Sultan Sharafuddin turut berpandangan kejadian ini bukan dilakukan oleh orang kurang siuman atau budak-budak nakal, tetapi lebih kepada bermotifkan politik kebencian.

Dalam pada itu, baginda berharap agar pelaku dapat ditangkap segera dan dihadapkan ke muka pengadilan.