KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan
mesyuarat khas pada 23 Julai ini bagi membincangkan tarikh penting pilihan raya
kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.
Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak
berkata perkara itu diputuskan selepas menerima pemakluman rasmi daripada Yang
Dipertua DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid, mengenai kekosongan luar
jangka kerusi N. 58 Slim, hari ini.
"Berdasarkan Perkara XXXVI
(5), Bahagian Pertama, Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan,
sesuatu kekosongan luar jangka hendaklah diisi dalam masa 60 hari dari tarikh
yang dipastikan oleh SPR kekosongan itu berlaku," katanya dalam kenyataan,
hari ini.
Mesyuarat khas SPR itu akan
dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi, Dr Azmi Sharom dan ia akan diadakan
pada jam 9 pagi di Ibu Pejabat SPR, Menara SPR, Putrajaya.
Ikmalrudin berkata mesyuarat itu
antara lain akan membincangkan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon,
hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain bagi
melaksanakan PRK tersebut.
Dalam pada itu SPR turut
mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd Khusairi.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, beliau mengekalkan kerusi dengan majoriti 2,183 undi menentang calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang bertanding atas tiket PKR, iaitu Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal. – BERNAMA