KUALA LUMPUR: Disebalik kekecohan dan
perdebatan panas, persidangan hari pertama Dewan Rakyat hari ini meluluskan
lima usul kerajaan termasuk usul Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan
jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat, yang memerlukan undi belah bahagian oleh
222 Ahli Parlimen.
Meskipun jumlah undi
diperoleh bagi usul mengosongkan jawatan Yang Dipertua bagi memberi laluan
pelantikan baharu itu tipis, ia membuktikan kerajaan Perikatan Nasional
pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat kelebihan sokongan
Ahli Parlimen, sekali gus menidakkan dakwaan pembangkang.
Undi belah bahagian yang
dijalankan menyaksikan 111 Ahli Parlimen menyokong, 109 tidak bersetuju dengan
usul itu, manakala Ahli Parlimen Kota Marudu Maximus Johnity Ongkili tidak hadir
dan seorang lagi berkecuali.
Pemilihan Datuk Azhar
Azizan Harun, 58, yang merupakan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR), bagi menggantikan Mohamad Ariff sejak awal-awal lagi berhadapan bantahan
pembangkang.
Azhar, mengangkat sumpah
jawatan selepas dewan menyambung semula persidangan pada sebelah petang, di
tengah-tengah kekecohan Ahli Parlimen pembangkang mendesak supaya dibenar
mengemukakan calon Yang Dipertua dewan dan melakukan pengundian semula.
Seperti dijangkakan,
persidangan yang berlangsung dalam normal baharu berikutan penularan wabak
COVID-19, menyaksikan pertikaman lidah antara pembangkang dan penyokong
kerajaan sejurus usul dicadangkan perdana menteri.
Usul kerajaan untuk
menggantikan Mohamad Ariff mendapat bantahan daripada pembangkang yang mendesak
Muhyiddin menjelaskan alasan kukuh dan bukan hanya disebabkan mempunyai
pencalonan lain.
Mempersoalkan keperluan
menukar Mohamad Ariff yang disifatkan telah menjalankan tugas dengan baik sejak
dilantik pada Julai 2018 selepas pembentukan kerajaan Pakatan Harapan, Ketua
Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa Ahli Parlimen pembangkang
menyatakan alasan ‘terdapat pencalonan lain’ yang diberikan untuk usul itu
tidak munasabah.
Menteri di Jabatan Perdana
Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan ketika menggulung
perbahasan usul itu menjelaskan pertukaran jawatan-jawatan utama termasuk Yang
Dipertua Dewan Rakyat dalam negara lazim berlaku apabila kerajaan baharu
mengambil alih tampuk pemerintahan.
Katanya notis pencalonan
nama baharu bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat telah dikemukakan pada 29
Jun lalu dan ia diterima Mohamad Ariff serta dimasukkan sebagai satu usul yang
perlu dibahaskan.
Mohamad Ariff dalam
reaksinya menyatakan usul itu mematuhi Perkara 57 (2) (c) Perlembagaan
Persekutuan dan dilakukan oleh Ahli Parlimen, bukannya Perdana Menteri atau
Kabinet.
Sidang hari ini turut
mencatat sejarah Parlimen negara, apabila Dewan Rakyat buat pertama kali
meluluskan usul memilih Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said
sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Pemilihan Azalina, 57, yang
merupakan wanita pertama memegang jawatan itu adalah bagi menggantikan Ahli
Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming yang meletak jawatan berkenaan.
Selain itu, dewan turut
meluluskan usul cadangan pelantikan enam Ahli Parlimen sebagai Ahli
Jawatankuasa Pemilih serta usul untuk Ketua Polis Negara menjaga jalan dan
lorong menuju ke Dewan Rakyat supaya tidak ada kacau bilau dan huru-hara.
Dalam pada itu, Azhar
berdepan tugas mencabar sejurus mengangkat sumpah jawatan Yang Dipertua apabila
berterusan 'diasak' Ahli Parlimen pembangkang yang mempersoalkan tatacara
pelantikannya hingga mengganggu perjalanan sidang dewan.
Ini memaksa beliau
mengambil tindakan tegas dengan mengarahkan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid
Abdul Samad keluar dewan sehingga tamat persidangan hari ini.
Kekecohan yang berlarutan
sehingga menyukarkan keadaan untuk Ahli Parlimen berucap memaksa Takiyuddin
bangun mengusulkan persidangan ditangguhkan lebih awal dan disambung esok.
-- BERNAMA