'Wallahi, wabillahi, watallahi, saya tidak tahu wang RM42 juta itu' - sumpah laknat Najib


KUALA LUMPUR, 28 Julai ― Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mengulangi sumpah laknatnya bahawa beliau tidak tahu mengenai RM42 juta dana SRC International, selepas disabitkan bersalah atas 7 pertuduhan hari ini.

Bekas perdana menteri itu menafikan beliau pernah meminta atau ditawarkan wang itu.

“Sebagai orang Islam, Wallahi, wabillahi, watallahi.

"Saya tidak meminta, saya tidak merancang atau ditawarkan RM42 juta itu.

“Saya bersaksi kepada Allah, saya juga tiada pengetahuan mengenai jumlah wang itu.

“Begitu juga tiada bukti atau saksi berhubung perkara itu,” katanya dalam kenyataan pendeknya yang diakhiri bacaan sumpah laknat itu selepas pihak pembelaan dan pendakwaan melengkapkan hujah untuk mitigasi.

Terdahulu, beliau turut membangkitkan pencapaiannya sepanjang 9 tahun menjadi perdana menteri, termasuk prestasi baik Tabung Haji dan Petronas di bawah kerajaan pimpinannya.

Katanya, beliau juga bertanggungjawab memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), tetapi tidak pernah diberi penghargaan secukupnya.

Ahli Parlimen Pekan itu turut mencadangkan sistem lebih telus untuk sumbangan politik yang tidak dipersetujui parti pembangkang.

BERITA LANJUT MENYUSUL