KUALA LUMPUR, 5 Ogos -- Polis menahan 127 individu semalam kerana ingkar arahan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.
Beliau berkata lapan daripadanya telah direman sementara 119 individu dikenakan kompaun. 65 individu daripadanya ditahan kerana tidak mengikuti prosedur opreasi standard (SOP). 62 individu pula ditahan kerana terlibat dalam aktiviti dengan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal.
Ismail, dalam satu kenyataan berkata, polis juga menahan seorang individu kerana kesalahan imigresen.
Penahanan dibuat hasil Ops Benteng yang melibatkan pihak berkuasa termasuk Angkatan Tentara Malaysia (ATM) dalam usaha mengawal sempadan negara daripada dibolosi pendatang asing tanpa izin (PATI).
"Semalam, polis melakukan sebanyak 1,969 pemeriksaan terhadap individu yang menjalani kuarantin 14 hari di rumah mereka," katanya.
Seramai lima individu dikenakan tindakan oleh polis semalam, kerana gagal mematuhi SOP kuarantin di rumah seperti diarahkan Kementerian Kesihatan (KKM).