13 ADUN wira, elak Sabah terus mundur – Annuar


KUALA LUMPUR, 3 Ogos -- Tindakan seramai 13 ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang menukar haluan politik daripada Warisan dan menyokong bekas ketua menteri, Tan Sri Musa Aman disifatkan sebagai 'wira'.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa juga mempertahankan tindakan ADUN Sabah itu yang dilihat cuba ‘menyelamatkan’ negeri itu daripada kepentingan politik peribadi ketua menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Mereka yang menukar haluan adalah wira-wira Sabah yang telah mencuba menyelamatkan Sabah daripada terus diseret oleh politik kepentingan diri dan kroni yang kini menyebabkan Sabah makin mundur,” kata Annuar dalam catatan Twitter hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang ingin menghukum tindakan 13 ADUN Sabah yang berpaling tadah kepada pembangkang kerana ditawarkan wang untuk melompat parti.

Menurut Mahathir, tindakan mereka menyebabkan Shafie terpaksa membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah untuk mengagalkan cubaan rampasan kuasa.