KUALA LUMPUR, 30 Ogos -- Sebanyak 130 peserta mengambil bahagian dalam konvoi jelajah motosikal 'Ambang Merdeka Ride' 2020 anjuran Koperasi Kakitangan Petronas Berhad (KOPETRO) bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan, tahun ini.
Pengurus program berkenaan, Muhammad Hafidz Selamat berkata konvoi jelajah sejauh kira-kira 60 kilometer itu, bermula di ibu pejabat KOPETRO di Jalan Yap Kwan Seng di sini, dan akan tamat di Excel Training & Country Resort, Lenggeng, Negeri Sembilan.
“Ini konvoi jelajah motosikal yang pertama sempena Hari Kebangsaan anjuran KOPETRO, dan sambutan menggalakkan dengan penyertaan semua lapisan masyarakat berusia lingkungan 20-an hingga 60-an dalam mewarnai Bulan Kebangsaan negara.
“Kami turut menyediakan Jalur Gemilang untuk dikibarkan sepanjang jelajah ini,” katanya kepada pemberita sebelum majlis pelepasan konvoi jelajah itu yang disempurnakan Setiausaha KOPETRO Datuk Abdul Razak Hussain hari ini.
Muhammad Hafidz berkata pelbagai aktiviti akan diadakan di destinasi akhir konvoi jelajah itu yang turut menjayakan program kibar Jalur Gemilang, antaranya ceramah dan kuiz bagi meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan peserta.
Beliau berkata meskipun negara masih berperang dengan pandemik COVID-19, semangat patriotisme dan cintakan negara harus sentiasa dipupuk dalam diri setiap masyarakat bagi mengingatkan mengenai usaha generasi terdahulu dalam memerdekakan negara.
Rata-rata peserta konvoi jelajah itu yang ditemui, teruja dapat turut sama menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.
Abdul Razak Mohd Yusof, 68, antara peserta veteran konvoi jelajah itu, berkata program seumpama itu harus sering diadakan bagi mengeratkan silaturrahim selain dapat memupuk semangat patriotisme dalam kalangan peserta program tersebut.
Sementara itu, Siti Hanani Zulkaple, 39, berkata beliau tertarik menyertai konvoi jelajah itu kerana ia bertujuan memupuk semangat cintakan negara.
-- BERNAMA