KUALA LUMPUR, 16 Ogos -- Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, polis menahan 235 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang memasuki hari ke-152.
Ismail berkata, daripada 235 individu yang ditahan semalam, 15 orang direman, manakala 220 lagi dikenakan kompaun.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran (15 orang), gagal menyediakan peralatan atau catatan keluar dan masuk (26 orang), premis beroperasi lebih masa (12 orang), tidak memakai pelitup muka (216 orang), gagal melunaskan bayar an kuarantin (1 orang) serta aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (165 orang),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ismail juga berkata, menerusi Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang dijalankan, polis membuat 64,987 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).
“Sebanyak 4,824 pasukan pematuhan melibatkan 17,074 anggota membuat pemantauan di 4,142 pasar raya, 5,818 restoran serta 1,640 penjaja, 1,622 kilang, 3,849 bank dan 916 pejabat kerajaan.
“Juga dipantau, sebanyak 1,587 terminal pengangkutan darat, 378 terminal pengangkutan air serta 99 terminal pengangkutan udara,” katanya.
Pada masa sama, Ismail berkata, semalam Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melakukan pemeriksaan di 5 tapak binaan di seluruh negara, yang melibatkan 10 anggota penguatkuasa.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua tapak binaan mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.