253 ditahan ingkar PKP termasuk 116 di kelab malam

KUALA LUMPUR, 31 Ogos -- Polis menahan 253 individu kerana mengingkari arahan perintah kawalan pergerakan (PKP), termasuk 116 orang yang mengunjungi  pub atau kelab malam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, 219 daripadanya dikompaun, 32 direman dan dua lagi dibebaskan dengan jaminan.

Katanya, antara kesalahan yang dilakukan ialah gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk (23 kes), tidak memakai pelitup muka (26 kes), premis beroperasi lebih masa (dua kes), ceroboh pusat kuarantin (dua kes), aktiviti menyukarkan penjarakan fizikal (70 kes), gagal melunaskan bayaran pusat kuarantin (satu kes) dan aktiviti melibatkan perjudian (13 kes).

Ismail berkata, tiada tangkapan dilakukan menerusi 63 sekatan jalan di seluruh negara semalam bagi mengekang kemasukan PATI, khasnya di lorong tikus.

Beliau berkata, pihak berkuasa menjalankan 220 pemeriksaan dan mendapati semua individu yang menjalani kuarantin wajib 14 hari di rumah mematuhi SOP ditetapkan.

Katanya, seramai 20,455 individu yang pulang ke tanah air sejak 24 Julai hingga semalam, ditempatkan di 73 hotel dan empat institut latihan awam di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah serta Labuan.

Mereka pulang dari 32 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

“Daripada jumlah itu, seramai 8,917 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 56 individu dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seramai 11,482 individu sudah dibenarkan pulang selepas selesai menjalani kuarantin wajib.