3 rentung, 9 cedera dalam kemalangan di Segamat


JOHOR BAHRU, 16 Ogos -- Tiga rentung, manakala 9 lagi cedera dalam kemalangan melibatkan 5 kenderaan di Jalan Genuang-Tenang, Kampung Melayu Raya Segamat di Segamat malam tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Fuad Mohamad berkata pihaknya menerima panggilan pada 10.47 malam dan 15 anggota bersama 3 jentera daripada BBP Segamat serta Labis digegaskan ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba di lokasi, didapati 2 kereta, iaitu jenis Honda Accord dan Proton Saga terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, selepas kebakaran dipadamkan, pihaknya menemui 3 mangsa rentung, iaitu seorang di tempat duduk pemandu Honda Accord dan 2 lagi dalam kereta Proton Saga.

Nahas itu turut menyaksikan 9 lagi mangsa yang menaiki 3 kenderaan lain, iaitu 7 yang menaiki Proton Saga berlainan dan masing-masing seorang lelaki yang memandu Perodua Alza serta Proton Wira mengalami kecederaan.

Setakat ini, katanya, maklumat mengenai identiti mangsa belum diperolehi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya sedang melakukan siasatan bagi mengenal pasti identiti mangsa serta punca nahas.