300,000 Jalur Gemilang sudah diagih di seluruh negara - Saifuddin

KUALA LUMPUR, 29 Ogos -- Sebanyak 300,000 Jalur Gemilang telah diedarkan di 2,022 lokasi seluruh negara sejak 28 Julai lalu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata ia merupakan program tahunan sempena sambutan Hari Kebangsaan anjuran Jabatan Penerangan bagi menaikkan semangat patriotik rakyat dan menyemarakkan semangat kibar Jalur Gemilang.

Saifuddin berkata demikian selepas mengadakan tinjauan mesra merdeka dan menyerahkan Jalur Gemilang kepada pengamal media serta penduduk di sekitar Masjid Jamek Kampung Baru di sini hari ini.

Beliau turut mengulangi pelawaan agar rakyat Malaysia sama-sama menyertai #MomenNegaraku yang merupakan antara inisiatif kementerian itu bagi menggalakkan orang awam berkongsi pengalaman terindah mereka sebagai rakyat Malaysia di media sosial masing-masing termasuk Twitter, Facebook dan Instagram.

“Esok malam detik 12 tengah malam ada pengiraan di Angkasapuri dan saya nak ajak semua rakyat kita buat #MomenNegaraku, kalau boleh di mana saja kita berada termasuk di luar negara, kita berdiri di tempat masing-masing dan nyanyi lagu Negaraku.

“Kemudian kongsikanlah detik tersebut di media sosial masing-masing,” katanya.

Terdahulu, Saifuddin mengetuai konvoi Info On Wheels Merdeka yang berlepas dari lobi Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya ke tiga lokasi di ibu negara.

Konvoi yang disertai  15 kenderaan itu melibatkan sesi tinjauan mesra di Little India di Brickfields, Jalan Pasar di kawasan Pudu dan Masjid Kampung Baru Kuala Lumpur.

Program Info On Wheels Merdeka adalah hebahan dan penerangan mengenai inisiatif kerajaan yang dilakukan melalui unit bergerak.

Sambutan Hari Kebangsaan 2020 akan berlangsung di Dataran Pahlawan Negara, Presint 1 di Putrajaya Isnin depan dengan Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bakal menjadi tumpuan.

Acara sambutan berkenaan yang akan dilakukan serba ringkas dalam suasana norma baharu bakal disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen tempatan.

-- BERNAMA