KUCHING, 1 Ogos -- Lima pemain Kuching FA yang disahkan positif COVID-19 kini menjalani proses kuarantin di Kompleks Belia dan Sukan, Sarawak sejak Khamis lalu.
Kesemua pemain itu melakukan ujian swab pertama berserta ujian darah pada 25 Julai lalu.
Lima pemain itu terdiri daripada dua orang pemain tempatan dan tiga orang pemain import iaitu Paul Sambang, Hafis Saperi, Diego Baggio Test, Yuta Suzuki dan Yuki Tanigawa.
Hafis Saperi yang sempat dihubungi, memaklumkan mereka berlima telah menjalani ujian darah sekali lagi pada pagi Sabtu dan keputusan akan diberitahu dalam masa terdekat.
Sebelum ini, seorang pemain Kuching FA yang juga merupakan kakitangan Hospital Sentosa disahkan positif COVID-19.
Sebagai rekod, Kuching FA pernah muncul naib juara dalam saingan Liga M3 pada 2018 dan kini beraksi dalam Liga Premier 2020.