KUALA LUMPUR, 24 Ogos -- Sebanyak 515 individu ditahan atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 440 individu telah dikompaun manakala 69 lagi direman serta enam yang lain dijamin.
Menurut beliau, antara kesalahan yang dilakukan adalah kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal melibatkan 252 individu; 205 individu (aktiviti dalam pub atau kelab malam), 18 (gagal sediakan peralatan atau catatan keluar masuk), 17 (tidak memakai pelitup muka), 10 (premis beroperasi lebih masa), tujuh (aktiviti perjudian), serta masing-masing dua individu gagal mematuhi arahan kuarantin dan gagal melunaskan bayaran kompaun.
“Semalam, PDRM telah mengadakan 434 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing. PDRM telah mengambil tindakan terhadap seorang individu kerana gagal mematuhi SOP (prosedur operasi standard),” katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan PKPP, hari ini.
Mengenai Operasi Benteng bagi mengawal sempadan negara pula, beliau berkata PDRM mengadakan 53 sekatan jalan raya di seluruh negara dan memeriksa 29,777 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin terutamanya di lorong tikus.
“Tiada sebarang tangkapan dilakuukan. Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan,” katanya.
Sementara itu, sejak 24 Julai hingga semalam, 15,988 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua ditempatkan di 67 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu dan Labuan.
Daripada jumlah itu, seramai 7,466 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 55 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan 8,459 individu telah didiscaj serta dibenarkan pulang.
“Mereka pulang dari 32 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat,” katanya.
Ismail Sabri berkata penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut melakukan 1,403 pemeriksaan khas pematuhan PKPP dan mendapati 1,381 premis mematuhi SOP yang ditetapkan.
"Manakala, 22 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP. Dalam tempoh PKPP ini, kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian,” katanya.