KUALA LUMPUR, 20 Ogos -- Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid antara enam pegawai kanan yang terlibat dalam pertukaran jawatan berkuatkuasa 21 September ini.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datuk Asmawati Ahmad dalam satu kenyataan berkata Razarudin telah dilantik sebagai pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.

Beliau menggantikan Datuk Ramli Din yang telah dilantik sebagai pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Pertukaran lain melibatkan Datuk Seri Abd Rahim Jaafar, yang telah dilantik sebagai pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman.

Pelantikan Abd Rahim tersebut susulan pendahulu beliau iaitu Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara minggu lepas.

BACA: Acryl Sani dilantik Timbalan Ketua Polis Negara

Abd Rahim sebelum ini menyandang jawatan pengarah Jabatan Pengurusan.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim telah dilantik sebagai pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman.

Jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur pula akan disandang oleh Datuk Saiful Azly Kamaruddin, yang merupakan timbalan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

Jawatan lama Saiful Azly tersebut akan disandang oleh Datuk Mohd Kamarudin Md Din dari bahagian pentadbiran Jabatan Pengurusan Bukit Aman.