KUALA LUMPUR, 29 Ogos -- Seramai 79 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Daripada jumlah itu, seramai 51 individu telah dikompaun manakala empat lagi direman, katanya.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP yang termasuk aktiviti dalam pub atau kelab malam sebanyak 11 kes, gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk (18 kes), tidak memakai pelitup muka (17 kes), premis beroperasi lebih masa (1 kes) dan private party (22 kes),” katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan PKPP hari ini.
Dalam tempoh yang sama, beliau berkata sebanyak 64,776 pemeriksaan dilakukan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.
Selain itu, polis juga telah mengadakan 459 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing dan kesemua individu terbabit didapati mematuhi SOP yang ditetapkan.
Menurut Ismail Sabri, sejak 24 Julai hingga semalam, seramai 19,218 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka telah ditempatkan di 70 hotel dan enam Institut Latihan Awam (ILA).
Daripada jumlah itu, seramai 8,464 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 56 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan manakala seramai 10,698 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang, katanya.
Beliau berkata sebanyak 64 sekatan jalan raya Operasi Benteng turut diadakan di seluruh negara semalam dan 30,120 kenderaan diperiksa bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin terutamanya di lorong-lorong tikus.
Tiada sebarang tangkapan dilakukan, katanya.
