86 individu ditahan ingkar PKP

KUALA LUMPUR, 21 Ogos  -- Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah masuk hari ke-157 dan hari ke-73 ianya dilonggarkan kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), jumlah individu yang didapati ingkar arahan berkurang.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sehingga semalam, hanya 86 individu ditahan kerana mengingkari arahan PKP.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 77 dikompaun manakala 8 lagi direman kerana mengingkari arahan PKP.

Ismail berkata dalam Operasi Benteng yang dilaksana dalam usaha mengekang kemasukan Pendatang Tanpa Izin, sebanyak 63 sekatan jalan raya diadakan dan sebanyak 32,279 kenderaan diperiksa dan dua warga asing telah ditahan atas kesalahan imigresen.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengadakan 327 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing dan kesemua mereka didapati mematuhi SOP yang ditetapkan.

Ismail berkata semalam juga sebanyak 32 tapak binaan di seluruh negara dibuat pemeriksaan dan daripada hasil pemeriksaan, kesemua tapak binaan tersebut mematuhi SOP yang ditetapkan.