PUTRAJAYA, 21 Ogos -- Datuk Abdul Ghani Salleh dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baharu.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, pelantikan itu sudah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Fasal (1) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan dan pelantikan sebagai Pengerusi SPR itu dibuat selaras dengan Fasal (3) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, pelantikan itu bermula hari ini sehingga usianya mencapai 66 tahun.

Abdul Ghani yang dilahirkan pada 10 Mei 1958 di Kuala Kurau, Perak berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengurusan dan Pemasaran daripada Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau pernah memegang beberapa jawatan antaranya Yang di-Pertua Majlis Daerah Kuala Langat, Pengarah Jabatan Perancangan Korporat dan Pembangunan Masyarakat, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Pegawai Daerah Gombak, Selangor.

Jawatan terakhir beliau sebelum bersara wajib pada 10 Mei 2018 adalah sebagai Setiausaha SPR.

Pada 29 Jun lalu, SPR memaklumkan Datuk Azhar Azizan Harun telah meletak jawatan sebagai Pengerusi SPR.

Menurut SPR, peletakan jawatan tersebut telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong melalui surat Istana Negara bertarikh 30 Jun.

Azhar kemudiannya dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Sementara itu,  Mohd Zuki turut memaklumkan, bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Nik Ali Mat Yunus pula dilantik sebagai Ahli SPR berkuat kuasa tarikh yang sama.

BACA: Azhar Harun letak jawatan Pengerusi SPR 29 Jun lalu

BACA: Ramlan Ibrahim letak jawatan sebagai Ahli SPR

“Dengan kelayakan dan pengalaman yang dimiliki, diyakini mereka akan dapat menggalas amanah dan tanggungjawab sebagai Pengerusi dan Ahli SPR mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan dengan sempurna.

“Kerajaan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Azhar Azizan Harun dan Datuk Seri Ramlan Ibrahim atas khidmat bakti sepanjang menjawat jawatan masing-masing sebagai Pengerusi dan Ahli SPR,” kata Mohd Zuki dalam kenyataan tersebut.