KUALA LUMPUR, 8 Ogos -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli hari ini mengumumkan keluar parti Bersatu hari ini, mendakwa parti itu tersasar dari matlamat asalnya untuk melawan kerajaan kleptokrat.
Katanya, beliau sekarang akan menjadi ADUN Bebas yang akan menyokong bekas pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Sekarang, kita dapati parti itu (Bersatu) bersedia bekerjasama dengan individu yang ditolak oleh orang-orang semasa pilihan raya umum lalu.
“Parti itu tidak mendapat pandangan dari akar umbi atau wakil mereka sebelum menjalin kerjasama dengan gabungan baharu ini.
"Kami juga berasa bahawa presiden Bersatu bertanggungjawab atas kehilangan mandat rakyat ketika beliau membuat keputusan untuk meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dan menyebabkan kejatuhan kerajaan PH," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shaid berkata beliau bertanggungjawab atas mandat yang diberikan oleh pengundinya, sambil menambahkan bahawa beliau ingin memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya hingga pilihan raya berikutnya.
“Kami juga rasakan, Bersatu sukar membentuk gabungan dengan Muafakat Nasional kerana semua parti ditunjangi oleh orang Melayu," katanya.
Shaid juga mendakwa pengisytiharan keluar parti beliau akan diikuti oleh majoriti ahli bahagian Bersatu Kuala Selangor, termasuk pelbagai ketua cawangan.
Mahathir semalam berkata beliau akan menubuhkan parti politik Melayu baharu yang bebas.
Beliau berkata, parti baharu itu akan bersifat inklusif dan sederhana, sambil menambah bahawa parti Melayu lain seperti UMNO, PAS dan Bersatu telah tersasar dari matlamat asalnya.
"Sebabnya kerana UMNO, PAS dan Bersatu sudah lari dari perjuangan asal berkenaan politik orang Melayu," katanya pada sidang media penubuhan parti baharu itu di Bangunan Yayasan Al-Bukhary, semalam.
Sumber: FMT