KUALA LUMPUR, 31 Ogos -- Ambang merdeka tahun ini disambut penuh berbeza dalam situasi norma baharu ekoran pandemik COVID-19, tidak seperti kelaziman biasa sebelum ini yang menyaksikan orang ramai 'menyerbu' lokasi-lokasi utama seluruh negara bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-63 itu.
Malah Dataran Merdeka, lokasi bersejarah yang sering menjadi tumpuan ribuan warga kota acap kali menjelang sambutan ambang merdeka, kali ini sunyi tanpa kiraan detik 12 tengah malam, pertunjukan bunga api mahu pun persembahan artis terkemuka.
Bukan itu sahaja, hanya beberapa negeri yang mengadakan sambutan ambang merdeka, bagaimanapun kesemuanya dijalankan dalam tatacara pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) serta kehadiran jumlah pengunjung dihadkan.
Bagaimanapun, penghayatan dan sambutan terhadap erti kemerdekaan turut diterjemahkan dalam cara berbeza antaranya menerusi kempen #MomenNegaraku, inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang menyaksikan rakyat digalak berkongsi serta memuat naik karya kreatif seperti video, foto, ucapan, teks, nyanyian, lakonan malah tarian unik dengan menyatakan semangat kenegaraan menerusi media sosial.
Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut menyiarkan secara langsung konsert khas ‘Kita Merdeka 1957 2020’ di Auditorium Perdana, Angkasapuri melalui saluran RTM1 dan MyKlik bermula 10.30 malam, yang dilaksanakan dalam normal baharu tanpa kehadiran penonton.
Konsert itu menampilkan persembahan artis terkenal tanah air termasuk Datuk Jamal Abdillah, Wany Hasrita, Haqiem Rusli dan Kugiran Masdo serta Bunkface.
Lebih menarik kiraan detik 12 malam yang menandakan ketibaan 31 Ogos, Hari Kebangsaan Malaysia, diraikan bersama petugas barisan hadapan dan turut disertai Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Suriani Ahmad.
Di PERLIS, sambutan ambang merdeka di Dewan Wawasan, Kangar hanya dihadkan kepada 150 tetamu dengan kesemua jemputan diminta memakai pelitup muka dan menjalani imbasan suhu badan sebelum dibenarkan masuk ke dewan bagi menyekat penularan wabak COVID-19.
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid turut berkenan berangkat ke majlis itu yang diserikan dengan persembahan kebudayaan, santapan dan amanat merdeka daripada Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.
Di SARAWAK, sambutan ambang merdeka diraikan secara sederhana di sebuah hotel di Sri Aman dengan kehadiran 250 penonton, yang turut diserikan dengan persembahan tarian kebudayaan dan hiburan yang dipersembahkan anggota Majlis Seni Sarawak.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan isterinya, Toh Puan Raghad Kurdi Taib, menjadi tetamu kehormat dan majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, menteri-menteri negeri, ketua jabatan kerajaan serta ketua kaum.
Di TERENGGANU, tiada sambutan rasmi diadakan namun suasana meriah boleh dilihat di Jambatan Angkat di Kuala Terengganu apabila pihak pengurusan jambatan itu bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk melaksanakan pameran dan eksesais malam ini.
‘Bascule’ Jambatan Angkat dibuka bagi memberi laluan kepada Kapal Maritim (KM) Bagahak dan KM Gemia menyelusuri muara Sungai Terengganu serta melintasi jambatan ikon negeri itu.
Orang ramai termasuk pelancong dilihat teruja menyaksikan kedua-dua kapal dan persekitaran jambatan angkat yang dihiasi lampu berwarna-warni.
-- BERNAMA