Amir Khusyairi Tanusi calon Pejuang PRK DUN Slim

KUALA LUMPUR, 12 Ogos -- Kumpulan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menamakan seorang peguam syarie, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Pengumuman pencalonan diumumkan dalam satu sesi Facebook secara langsung.

Watikah pencalonan itu juga disampaikan oleh Mahathir sendiri yang turut disaksikan bekas setiausaha Bersatu yang juga pengarah PRK Slim, Datuk Wira Marzuki Yahya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Anthony Loke dan beberapa pemimpin Pakatan Harapan.

PRK DUN Slim, yang akan berlangsung pada 29 Ogos, diadakan susulan kematian penyandang, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, akibat serangan jantung pada 15 Julai lalu.

Pada hari ini juga, Barisan Nasional (BN) telah menamakan Pemangku Ketua UMNO Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz sebagai calon parti itu.

Penamaan calon akan diadakan pada Sabtu ini.